Sunday, August 23, 2009

"It was Created!!" Ep.2

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau 'terlupa' bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas dari kekuasaan Allah SWT.

Jika kita telusuri hadis Nabi S.A.W., kita akan dapati anjuran nabi S.A.W. untuk berhati2 apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak. Sudah tentu anjuran Nabi itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan 'berjangkit'. Hadis berikut amat jelas:

"Tiada jangkitan, tiada sial dan tida hammah (satu kepercayaan jahiliyyah iaitu burung yang kononnya tercipta dari tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata : Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain?. Nabi menjawab : itulah taqdir Allah, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya?"~Riwayat Ahmad~

Allah mengingatkan : "Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."~Al-Hadid : 22~

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita agar melihat ketentuan Allah S.W.T. sebagai asas, sebelum melihat kepada soal sebab dan musabbab atau sunnatullah (hukum alam). Walaupun demikian, Nabi S.A.W. juga mengingatkan : "Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat."~Riwayat Muslim~

Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna antara hadis berkenaan qadar Allah S.W.T. dan saranan menjauhi pesakit berjangkit. Hakikatnya, tiada kontradiksi di antara satu sama lain, perlu difahami bahawa orang Arab di zaman jahiliyyah percaya tubuh orang sakit akan automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau taqdir. Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa yang sama tidak menafikan jangkitan dari berlaku. Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda nabi S.A.W. adalah :

1. Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat kerana dalam Islam tidak boleh diiktikadkan sedemikian.
2. Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah S.W.T. untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.
3. Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah menyalahkan antara satu sama lain.

Hasilnya Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas. Kebolehjangkitan adalah termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam). Cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah S.W.T. Pastinya, di musim perebakan wabak seperti selsema babi ini, tidak mudah untuk mana2 individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah. Itulah sebenarnya salah satu ujian Allah S.W.T. untuk hambaNYA, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan penciptaNYA. Hanya mereka yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri dari golongan itu. Amin..

No comments: